Friday, October 22, 2010

Al-Fatihah

Assalamualaikum dan Salam Cakno Belako Puok Kito.

Alhamdulillah, pada 22 Oktober 2010 yang lepas, Abe We dan beberapa orang pimpinan PMKUM khususnya Exco Kebajikan dan Perpaduan, saudara Hisyamuddin Abdullah dan timbalannya, saudari Sapinah Nordin telah bersua muka dengan seorang ahli PMKUM, saudari Husna binti Derani yang baru sahaja kehilangan ayahanda tercinta pada 10 Oktober 2010.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana kekeluargaan bertempat di kafe kolej kediaman kelima. Kesedihan dapat dilihat pada  raut wajah adik Husna, namun Abe We percaya ketabahan dalam menghadapi dugaan dari yang Maha Esa dapat dirasakan dari gerak geri dan tingkah laku beliau pada malam tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, kami telah menyampaikan sedikit sumbangan kepada adik Husna dan diharapkan agar sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi. Abe We juga berharap agar adik Husna terus kuat dan bersemangat dalam meneruskan kehidupan serta tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Takziah diucapkan kepada adik Husna dan keluarga di atas pemergian ayahanda tersayang.

Akhir kata, marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ayah beliau. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para Solihin. Al-Fatihah…

Wan Azfar Syahmi bin Wan Mohd Ghazali
YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya(PMKUM)
Sesi 2010/2011






Wednesday, October 20, 2010

Program Interaksi Jalinan Mahabbah PMKUM dan Perdana UKM

Assalamualaikum Abe We ucapkan kepada semua,

Alhamdulillah, Abe We diberi kesempatan untuk menitipkan sepatah dua kata pada ruangan  kali ini. Abe We ingin berkongsi dengan adik beradik PMKUM berkaitan dengan satu program yang dijalankan di luar Universiti Malaya iaitu  Program Interaksi Jalinan Mahabbah antara Perdana UKM dan PMKUM pada 17/10/2010. Untuk pengetahuan semua, program ini merupakan kunjungan balas daripada pihak  PMKUM sendiri setelah Perdana UKM melawat kami PMKUM pada Ramadhan yang lepas.

                Abe We juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung tahniah kepada pimpinan Perdana UKM atas penganjuran program seumpama ini. Sesungguhnya program yang julung kali diadakan ini merupakan suatu titik permulaan untuk PMKUM bekerjasama dengan mana-mana pihak seperti Perdana UKM. Pada program tersebut, kami pimpinan PMKUM telah bertolak menaiki 3 buah kereta dari Universiti Malaya (UM) seawal jam 9.00 pagi.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di UKM sekitar pukul 10.00 pagi. Kami juga disambut dengan penuh mesra oleh adik beradik Perdana UKM sendiri. Pada program tersebut, Abe We telah diberikan peluang untuk berucap bagi PMKUM setelah selesainya ucapan daripada YDP Perdana UKM. Dalam ucapan Abe We tersebut, Abe We mengharapkan agar pertemuan pada hari tersebut merupakan suatu platform untuk PMKUM bekerjasama dengan Perdana UKM pada program yang akan datang.

Dalam program tersebut, PMKUM dan Perdana UKM telah diberi peluang untuk membentangkan gerak kerja dan hala tuju persatuan masing-masing yang disampaikan sendiri oleh Abe We dan Presiden Perdana UKM, saudara Safwan. Selain daripada itu, bagi mendalami secara lebih terperinci berkaitan dengan program yang telah dan akan diadakan serta masalah-masalah yang dihadapi, satu sesi dialog telah diadakan. Banyak perkongsian yang diperoleh oleh kedua-dua belah pihak baik pimpinan PMKUM mahupun pimpinan Perdana UKM terutamanya perkara berkaitan dengan ahli, masalah yang dihadapi serta cara untuk mengatasi masalah.

 Secara peribadinya, Abe We merasakan bahawa program kali ini berjaya merapatkan ukhuwwah antara pimpinan PMKUM dan pimpinan Perdana UKM. Abe We mengharapkan juga agar selepas ini PMKUM sendiri dapat menjalinkan interaksi dan kerjasama yang utuh dengan persatuan-persatuan anak negeri Kelantan di kampus lain. Akhir kata, syabas dan tahniah diucapkan kepada pimpinan PMKUM 10/11 khususnya Exco Perhubungan dan Kemasyarakatan, saudara Mohd Rusmadi bin Sulaiman dan timbalannya, saudari Nurul Izzah binti Othman di atas penganjuran program yang cukup bermakna ini.

Syukran Jazilan
Wan Azfar Syahmi bin Wan Mohd Ghazali
YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya(PMKUM)
Sesi 2010/2011
Ucapan Abe We

Pimpinan Muslimin PMKUM dan Perdana UKM
Pimpinan Muslimat PMKUM dan Perdana UKM

Maklumat program.

Sesi dialog PMKUM-Perdana UKM


Abe We bersama Presiden Perdana UKM, saudara Safwan


Saturday, October 16, 2010

Hiburan Nasyid (Kenum'10)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat adik beradik PMKUM,

Pertama sekali, Abewe ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan PMKUM sesi 2010/11 dan pelaksana KENUM’10 khususnya yang telah bertungkus lumus bagi memastikan KENUM’10 dapat dilaksanakan dengan jayanya pada hari Khamis(14 Oktober 2010) yang lepas.

Untuk makluman semua, Konsert Gema Nasyid Universiti Malaya (KENUM’10) ini merupakan program yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) pada sesi kali ini. Walaupun ianya baru julung kali diadakan, namun dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan, program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Program ini yang bertemakan “Hiburan Berinformasi Santapan Rohani Membentuk Mahasiswa Berkualiti” diharapkan dapat melahirkan kelompok mahasiswa yang menjadikan hiburan sebagai satu alternatif untuk mengislahkan diri ke arah yang lebih baik seterusnya mampu melahirkan individu yang mempunyai personaliti sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi berkualiti.

Adik-adik Abewe sekalian,
Irama nasyid pada suatu masa dahulu hanya diminati oleh kelompok yang tertentu sahaja, namun irama pada masa kini telah dapat menarik lebih ramai peminat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang menjadikannya sebagai irama yang universal dan dapat diterima oleh semua golongan.

Harapan Abewe, semoga dengan terlaksananya program seperti ini mampu menjadi medium untuk mengumpulkan seluruh mahasiswa Universiti Malaya di dalam satu program. Abewe mengharapkan agar program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada sesi kepimpinan yang akan datang dan seterusnya dapat menjemput lebih ramai lagi artis nasyid untuk turut serta dalam konsert seperti ini.

Abewe juga mengharapkan agar semua pihak akan mendapat manfaat dan faedah daripada penganjuran konsert ini. Akhir sekali, terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan baik dari segi tenaga mahupun material bermula daripada pihak pentadibiran Universiti Malaya sehinggalah kepada ahli jawatankuasa pelaksana KENUM’10 sendiri. Abewe berharap semua yang hadir pada malam ini akan terus memberikan sokongan dan kerjasama di dalam setiap program yang dianjurkan oleh PMKUM pada masa akan datang.

~ ~ Salam Cakno Belako Puok Kito ~ ~
Wan Azfar Syahmi bin Wan Mohd Ghazali
YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya(PMKUM)
Sesi 2010/2011

p/s: Abewe sertakan sekali gambar-gambar sewaktu KENUM'10 sedang berlangsung. :









Monday, October 11, 2010

Program Sehari Bersama Pimpinan PMKUM

Assalamualaikum dan salam cakno belako puok kito,

Alhamdulillah, Abewe berasa gembira kerana program Sehari Bersama Pimpinan (SBP) anjuran PMKUM berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada hari Ahad lepas (10 Oktober 2010). Sesungguhnya program kali ini telah mencapai objektifnya yang tersendiri iaitu untuk merapatkan ukhuwwah antara pimpinan dengan ajk program serta memberi penerangan dan pendedahan berkaitan dengan kepimpinan dalam islam. Selain itu, program ini juga diadakan untuk memberi penerangan berkaitan dengan  PMKUM.

Menariknya, program kali ini berjaya menarik lebih kurang 50 orang anak-anak Kelantan yang belajar di kampus UM untuk turut serta. Abewe merasakan program kali ini sangat unik jika hendak dibandingkan dengan program-program PMKUM yang lain. Hal ini dapat dilihat pada awal program di mana semua jawatankuasa pelaksana SBP, pimpinan PMKUM serta peserta-peserta SBP berkumpul di Masjid Ar-Rahman seawal jam 7.30 pagi. Kemudian, kita bergerak ke Taman Jaya secara beramai-ramai dengan menaiki LRT. Abewe berasa cukup gembira dengan komitmen dan disiplin yang tinggi ditunjukkan oleh adik beradik PMKUM sepanjang program ini berlangsung.

Abewe berharap agar setiap input yang diperoleh melalui program SBP ini dapat digunakan sebaiknya oleh adik-adik PMKUM Abewe yang hadir pada hari itu. Abewe berharap adik-adik terhibur dan faham mengenai apa mesej yang kami cuba sampaikan melalui aktiviti-aktiviti menarik yang ditampilkan. Antaranya ialah slot Apa Khabar Ore Kelate(AKOK), slot ceramah bersama Ustaz Nik Abdul Razak, dan slot ceria. Selain itu, satu  forum yang bertajuk 'The Power Of Dream' telah diadakan yang membariskan Kak Zainab (NYDP Pengurusan), Abewe (YDP PMKUM) dan Ustaz Zul Amirul (Ex Officio PMKUM) dan dipengerusikan oleh Che Rozaihan (Timb SUA PMKUM). Abewe juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ex-officio kita, Ustaz Zul Amirul di atas kesudian beliau menjadi ahli panel forum terbabit.

Akhir kata, Abewe ingin menyeru kepada diri Abewe sendiri serta kepada semua adik beradik PMKUM agar bekerjasama antara satu sama lain demi menggapai visi dan misi PMKUM sendiri. Abewe berharap sangat agar kita semua dapat bersatu padu antara satu sama lain untuk memajukan PMKUM hingga ke peringkat antarabangsa. Abewe tutup entry blog ini dengan beberapa keping gambar untuk dikongsikan kepada adik-beradik PMKUM. Semoga tautan ukhuwwah antara kita terjalin sehingga ke syurga.


~ Cakno Belako Puok Kito ~ 
Wan Azfar Syahmi bin Wan Mohd Ghazali
YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya(PMKUM)
Sesi 2010/2011

Abewe bersama ex-officio PMKUM

Gambar Candid Bersama Ex-Officio serta adik beradik PMKUM yang lain
Gambar kenangan dengan adik beradik muslimin PMKUM
Gambar adik beradik muslimat PMKUM
Abewe bersalaman dengan Ustaz Nik Abdul Razak
Abewe bersama adik beradik PMKUM di Masjid Ar-Rahman sebelum bertolak ke Taman Jaya

Wednesday, September 22, 2010

Ahlan Wasahlan Buat Adik Beradik PMKUM

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Semoga adik beradik PMKUM berada dalam keadaan sihat walafiat.

Alhamdulillah, pada kesempatan ini Abe We bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kekuatan dan kesempatan untuk memiliki blog sendiri. Semoga dengan wujudnya blog ini ianya akan  memberi peluang kepada Abe We untuk memberikan cetusan idea, pandangan dan berkongsi pengalaman serta dapat mendekatkan lagi Abe We untuk berinteraksi dengan adik beradik sekalian.

Firman Allah S.W.T:

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenalSesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”(QS Al Hujurat :13) 

Di kesempatan ini, Abe We menghulurkan salam ukhuwwah dan salam kasih sayang kepada semua adik beradik PMKUM. Semoga ukhuwwah yang bakal terjalin akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan dilimpahi dengan rahmat Ilahi.
           
                                                 "Cakno Blako Puak Kito"

Ikhlas,
Wan Azfar Syahmi bin Wan Mohd Ghazali
YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya(PMKUM)
Sesi 2010/2011